GEORGE TOWN : Kerja-kerja tambakan laut bagi projek Pulau Pinang Selatan (PSI) masih berjalan walaupun menerima tindakan saman daripada tujuh nelayan yang diketuai Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail serta dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan iaitu Sahabat Alam Malaysia (SAM) serta Jaringan Ekologi dan Iklim (JEDI).
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, tindakan saman itu disifatkan masih awal kerana terdapat beberapa proses yang perlu dilalui sebelum ia diputuskan oleh mahkamah.
”Kerja-kerja (tambakan laut) masih diteruskan seperti biasa dan kita perlu jalani proses mahkamah sebelum apa-apa keputusan (diambil).
“Perintah (untuk menangguhkan projek dan sebagainya) dibuat oleh mahkamah sahaja. Jadi, kita tunggu,” katanya dalam sidang akhbar di pejabat Ketua Menteri, di sini hari ini.
Tujuh nelayan tersebut yang diketuai Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail bersama SAM dan JEDI sebelum ini telah bertindak memfailkan permohonan untuk membuat semakan kehakiman bagi projek PSI di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Permohonan untuk semakan kehakiman itu dibuat pada 29 Disember tahun lalu dalam usaha mencabar kebenaran merancang projek PSI yang diberi oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang pada 21 Ogos 2023.
Kon Yeow turut mengumumkan bahawa rancangan projek PSI dikurangkan daripada tiga pulau kepada hanya satu pulau sahaja iaitu pengurangan daripada 1,821 hektar tambakan laut kepada hanya 930 hektar.
Kerja-kerja awal tambakan laut untuk projek PSI itu pula telah bermula sejak September lalu selepas Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) untuk projek Silicon Island bagi projek terbabit memperoleh kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri pada 21 Julai tahun lalu.

Dalam pada itu, Kon Yeow mengesahkan pejabat kerajaan negeri juga telah menerima dokumen mengenai semakan kehakiman tersebut pada 13 Februari lalu.
”Tarikh pengurusan kes ini adalah pada 19 Februari depan dan kita telah arahkan supaya penasihat kerajaan negeri untuk uruskan perkara ini.
”Penasihat undang-undang negeri juga akan adakan sesi libat urus dengan pihak-pihak yang dinamakan dalam tindakan saman ini,” katanya yang akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap tuntutan saman berkenaan.-UTUSAN






