YAN: Persiapan sambutan Tahun Baharu Cina bagi sebilangan petani kaum Cina di daerah ini terasa hambar apabila mereka mengalami kerugian mencecah ratusan ribu ringgit ekoran tanaman padi diserang penyakit pada musim tuaian kali ini.
Seorang petani, Chai Min Hooi, 40, berkata, dia mengusahakan sawah padi seluas enam hektar dan penyakit padi tersebut dikesan kira-kira sebulan yang lalu ketika usia padi mencapai 85 hari.
“Sepatutnya butir padi sudah berisi pada usia 85 hari namun kini sudah sampai hari ke-100 namun butir padi masih tidak berisi dan kami sepatutnya sudah boleh tuai hasil dalam tempoh seminggu dua lagi.
“Kebiasaanya pendapatan saya boleh mencapai sehingga RM50,000 semusim namun pada musim ini pendapatan saya dijangka menyusut sehingga 50 peratus pada musim ini,” katanya ketika ditemui di Taman Yan, di sini semalam.
Seorang lagi petani, Law Ah Hoo, 72, berkata, dia mengusahakan tanaman padi seluas tiga hektar sejak 57 tahun lalu.
Katanya, ini kali pertama tanaman padinya diserang penyakit dalam skala yang besar berbanding sebelum ini.
“Selalunya kalau kena penyakit hanya dalam 10 peratus sahaja yang rosak tapi kali ini hampir 60 peratus daripada tanaman padi saya tidak ada hasil,” katanya.
Sementara itu, Peng Poh Keat, 50, berkata, dia berharap masalah itu akan mendapat perhatian daripada pihak yang terlibat supaya nasib pesawah terbela.
“Musim kedua penanaman padi akan bermula pada April ini, jadi saya harap punca kepada masalah ini dapat dikenal pasti segera supaya tidak berulang lagi pada musim akan datang,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Jawatankuasa (AJK), Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Mohd. Rosdi Yahaya berkata, keluasan sawah padi yang terlibat adalah kira-kira 30 hektar membabitkan kawasan sawah di Kampung Padang Makau, Dulang Kecil, di sini.
Beliau berkata, setakat ini petani masih belum mengesan jenis dan punca penyakit tersebut namun penyakit itu menyebabkan butir padi menjadi hampa atau tidak berisi sebelum kulitnya menjadi buruk dan rosak.
“Ini menyebabkan hasil tuaian padi pada musim ini berkurang kira-kira lebih 50 peratus dan merupakan kejatuhan hasil yang paling teruk yang pernah dialami pesawah di kawasan ini.
“Situasi ini menyebabkan pesawah tertekan kerana terpaksa menanggung kerugian yang tinggi terutamanya ketika mereka bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi,” katanya. – UTUSAN






