GEORGE TOWN : Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah meminta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk memulakan operasi pembenihan awan di kawasan tadahan air empangan Air Itam dan Loji Rawatan Air (WTP) Air Itam dalam usaha meningkatkan kapasiti efektif empangan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir. K.Pathmananthan berkata, permintaan itu dibuat menerusi satu surat permohonan rasmi yang dihantar kepada SPAN pada 2 Februari lalu.
Katanya, menerusi surat tersebut, PBAPP telah meminta Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman untuk membantu dalam merancang serta melaksanakan operasi pembenihan awan mulai Mac depan iaitu musim antara monsun untuk menyokong usaha PBAPP dalam meningkatkan kapasiti efektif empangan Air Itam itu.
”Kami telah menyatakan bahawa operasi pembenihan awan adalah penting bagi PBAPP untuk mengekalkan perkhidmatan bekalan air berterusan di Air Itam dan bagi memberi manfaat kira-kira 30,000 pengguna air termasuk pengguna domestik serta bukan domestik.
“Kami juga telah memaklumkan kepada SPAN bahawa operasi pembenihan awan pada Mei dan Jun 2023 telah menyumbang kepada jumlah hujan sebanyak 30.5 milimeter (mm) di kawasan tadahan Empangan Air Itam dan LRA Air Itam tahun lepas,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan kapasiti efektif empangan Air Itam menurun disebabkan cuaca panas kering selain penggunaan air yang meningkat dari empangan itu disebabkan berlakunya gangguan bekalan air berpunca daripada kebocoran paip bawah air di Sungai Perai dan setakat hari ini, kapasiti efektif empangan Air Itam telah berada pada paras 32.8 peratus.
Menurut Pathmanathan lagi, PBAPP kini sedang menunggu maklum balas daripada SPAN untuk memulakan perbincangan awal berhubung cadangan operasi pembenihan awan tersebut.
“Kami juga telah memohon bantuan daripada Kerajaan Persekutuan untuk menjalankan operasi pembenihan awan bagi mendorong hujan sebanyak mungkin di kawasan tadahan air di kawasan Air Itam selepas ini,” katanya.
Dalam pada itu, kata Pathmanathan, PBAPP juga merancang untuk mendapatkan pengesahan daripada kerajaan negeri Pulau Pinang minggu ini untuk memulakan Pelan Tindakan Empangan Air Itam 2024 (AIDAP 2024).-UTUSAN






