KUALA LUMPUR: Parlimen belum menerima sebarang usul cadangan pindaan Akta Ahli Parlimen (Saraan) Akta 1980.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, Kabinet belum membuat keputusan berhubung perkara itu meskipun wujud gesaan agar pencen Ahli Parlimen dimansuhkan.
“Tiada keputusan soal pencen. Apa yang ada itu hanyalah pandangan pihak tertentu tetapi tiada (kajian saraan ahli Parlimen) seperti kami dimaklumkan.
“Maksudnya kami tiada mendapat arahan atau perbincangan. Ini bermakna tidak berada di atas meja dalam bentuk rang undang-undang, kita anggap tidak berlaku apa-apa lagi,” katanya dalam
Perjumpaan Yang Dipertua Dewan Rakyat bersama Ketua Pengarang Media di Parlimen, semalam.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Anwar Ibrahim berkata, cadangan memansuhkan pencen untuk pelantikan penjawat awam juga terpakai kepada ahli politik termasuk wakil rakyat.
Anwar secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan tersebut, namun akan dimuktamad berdasarkan kajian yang diperoleh.
Sebelum ini, Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula pemberian pencen kepada ahli-ahli politik membabitkan wakil rakyat jika negara berdepan kekangan kewangan.
Sementara itu, Johari berkata, mengesahkan tidak menerima usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri menjelang seminggu pembukaan Parlimen pada Isnin depan.
“Tiada surat, tiada emel, tiada panggilan telefon. Perkara ini tidak berlaku,” katanya.
Mengulas tindakan Ahli Parlimen ponteng, Johari berkata, cadangan itu akan dibawa kepada Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat untuk meneliti pandangan semua pihak.
Katanya, beliau yang sebelum ini menzahirkan cadangan secara tidak langsung telah mengundang pelbagai pandangan termasuk membantah tindakan tersebut. – UTUSAN






