PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking tertera kalimah Allah di sebuah rangkaian kedai serbaneka, baru-baru ini.
Sultan Ibrahim bertitah, sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu, baginda mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja.
Justeru, Seri Paduka bertitah mahu tindakan sekeras-kerasnya diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah dalam isu ini berdasarkan siasatan pihak berkuasa.
“Kalimah Allah itu dipandang sangat tinggi pada sanubari umat Islam, tambahan pula kita berada di bulan Ramadan. Tidak patutlah timbul perkara yang membangkitkan kemarahan.
“Saya baru sahaja menegur dan mengingatkan akan kepentingan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan menghormati antara satu sama lain dalam titah sulung saya di Parlimen, timbul pula perkara ini.
“Sama ada ia disengajakan ataupun tidak, sama ada ia diimport atau dikeluarkan di kilang tempatan, saya mahu penguatkuasa siasat dan ambil tindakan sekeras-kerasnya mengikut lunas undang-undang yang ada supaya pisang tidak berbuah dua kali,” titah Seri Paduka kepada Royal Press Office (RPO).
Sebelum ini, KK Mart tampil membuat permohonan maaf susulan penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di salah satu cawangannya di Bandar Sunway, dekat sini minggu lalu.
Selain itu, pembekal stoking kalimah Allah yang dijual di KK Mart, syarikat Xin Jian Chang Sdn. Bhd. menjelaskan pihaknya tidak pernah berniat memesan bekalan produk tersebut sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
Menerusi kenyataan hari ini, syarikat tersebut berkata semua pesanan dibuat berdasarkan sampel diberikan selain nasihat terhadap pembekal di China juga diberi secara konsisten.
Sultan Ibrahim juga bertitah, adalah tidak masuk akal sebuah syarikat dengan kakitangannya terdiri daripada warga Malaysia tidak peka dengan perkara sedemikian.
“Sudah sekian lama kita hidup dalam sebuah negara majmuk. Kesilapan isu agama dan kaum sebegini tidak boleh diterima dan dibenarkan untuk berlaku lagi,” titah Seri Paduka. –UTUSAN






