PETALING JAYA: Tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tularkan isu berhubung masalah kesesakan lalu lintas di Tambak Johor cara terbaik untuk menoktahkan perkara tersebut.
Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dalam kenyataan di Facebooknya mempertahankan tindakan Onn Hafiz sambil menegaskan pentingnya kuasa tular bagi mendapat tindakan dari pihak yang sepatutnya menyesaikan isu itu.
“Rakyat Johor semua tahu bagaimana kegigihan Menteri besar Johor turun sama ada pagi, petang atau tengah malam untuk melihat sendiri masalah itu. Bukan hanya sekali beliau turun padang tetapi telah banyak kali dan masalah sama masih berlaku,”
“Apabila masalah sama berlaku walaupun sudah berulang kali dinyatakan, sudah tentu perlu dikejutkan dengan kuasa tular rakyat. Barulah menteri-menteri dan pegawai atasan tersedar daripada lamunan mimpi,” tulisnya.
Ahad lalu, Onn Hafiz dalam satu kenyataan di Facebook kecewa apabila 13 kaunter di laluan kereta di Tambak Johor tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan luar biasa.
Beliau berkata, perkembangan pengoperasian pintu sempadan negara di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dilihat belum berada pada tahap kecekapan sepenuhnya.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Abdul Rahman Mohd. Nordin bagaimanapun menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat berhemah dan jangan dihebahkan di media sosial sehingga tidak menggambarkan situasi sebenar.
“Kakitangan di Tambak Johor telah bertungkus-lumus menguruskan kemasukan rakyat Malaysia ke Singapura dan perjalanan sebaliknya,” katanya.
Isu kesesakan di TCIQ BSI itu turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mendengar permasalahan itu dalam pertemuan bersama Onn Hafiz dan pihak berkaitan pada Selasa lalu. – UTUSAN






