KUALA LUMPUR: Orang ramai dinasihat tidak terpedaya dengan tawaran pelaburan emas menjanjikan untung berganda yang menyasarkan warga emas yang mempunyai wang simpanan persaraan.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) , Datuk Hishamuddin berkata, pada tahun ini sehingga Mac lalu, MHO menerima 10 aduan daripada mangsa yang mendakwa tertipu dengan skim tersebut.
“Jumlah kerugian keseluruhan daripada mangsa-mangsa yang tampil membuat aduan kepada MHO sebanyak RM306,500 sejak Januari sehingga Mac lalu.
“Sindiket itu masih aktif dengan melakukan pemasaran skim pelaburan saham yang mana ia disyaki tidak sah selain tidak berdaftar dengan mana-mana badan penguat kuasa,” katanya dalam sidang media di Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, di sini hari ini.
Menurut beliau, pasangan suami isteri itu mensasarkan golongan warga emas yang mempunyai simpanan persaraan dan ingin menyertai pelaburan bagi mendapat keuntungan berganda.
Salah seorang mangsa, Muhammad Syafiq Mohd. Hatimin berkata, pasangan ini masih aktif terutama di Sungai Petani, Kedah dengan bersembunyi di sebalik badan bukan kerajaan (NGO).
“Sebelum ini, saya adalah ejen insurans dan si suami mendekati saya dengan memberitahu ingin membeli insurans melalui saya.
“Kemudian dia tawarkan skim pelaburan emas kepada saya. Selepas beberapa bulan, saya membuat transaksi pertama ke dalam akaun isteri lelaki itu sebanyak RM18,000.
“Setelah tiga bulan, saya tidak dapat keluarkan atau cairkan emas saya tetapi dia memberi pelbagai alasan seperti masalah penyelenggaraan dan sebagainya,” katanya.
Menurut Muhammad Syafiq, setelah setahun beliau menyedari dirinya tertipu dan pasangan terbabit berjanji untuk mengembalikan wangnya.
Bagaimanapun, kata beliau, beliau kecewa kerana mendapat semula wang yang dilaburkan tidak sampai 50 peratus..
“Saya telah beberapa kali berunding dengan suami isteri itu untuk memulangkan semula wang saya namun mereka mencabar saya untuk mengambil tindakan undang-undang,” katanya. – UTUSAN





