IPOH: Golongan mahasiswa di Kampar, Tapah dan Tanjung Malim dekat sini mendakwa mereka kurang berbelanja di bazar Ramadan selain banyak berbuka puasa dengan menu bajet, masak sendiri di rumah sewa atau menikmati apa sahaja makanan tersedia di masjid.
Rata-rata mereka memberitahu terpaksa berbuat sedemikian untuk menjimatkan perbelanjaan, selain menyimpan wang untuk balik ke kampung menyambut Aidilfitri.
Menurut Suriati Zulkifli, 24, dia jarang ke Bazar Ramadan Tapah Road, Tapah kerana ingin jimat berbelanja.
“Masih belajar, banyak barangan keperluan perlu dibeli jadi kebanyakan masa saya beli nasi bujang berharga RM5.
“Sudah lengkap dengan nasi, telur dadar, sup kosong dan sambal belacan, jadilah untuk berbuka puasa dan mengisi perut, lagi pun ingin simpan duit untuk balik beraya di Kuantan, Pahang,” katanya pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam itu baru-baru ini.
Dalam pada itu, Amirul Hisham Malek, 23, berkata, dia juga jarang pergi ke Bazar Ramadan Jeram, Kampar.
“Biasanya saya dan tiga rakan lain akan masak sendiri sahaja di rumah secara kebetulan ada kawan lain ingin datang berbuka puasa bersama-sama jadi kami pun belilah ayam golek seekor berharga RM27.
“Kami masak yang mudah-mudah sahaja dan tidak menelan kos yang tinggi seperti juadah berasaskan telur dan sayur-sayuran kerana makanan lain kosnya mahal,” katanya.
Abdul Nasir Ahmad, 25, yang ditemui di Bazar Ramadan Slim River, Tanjung Malim berkata, beliau lebih gemar berbuka puasa di Masjid Jamek Slim Village berbanding membeli juadah di bazar. – UTUSAN





