KANGAR: Jabatan Kesihatan negeri bersiap sedia melakukan pengawasan dan membuka bilik gerakan bagi memantau keseluruhan situasi cuaca panas di Perlis.
Pengarahnya, Dr Ismuni Bohari berkata, pihaknya juga akan bermesyuarat bersama Jabatan Pendidikan negeri bagi membuat hebahan dan menguar-uarkan mengenai situasi semasa cuaca panas tersebut.
Beliau berkata, jabatan turut mengambil pendekatan dengan memberikan penerangan kepada komuniti berhubung langkah yang sewajarnya diambil ketika berdepan musim panas ini.
“Yang kita bimbangkan adalah fasa ketiga di mana suhu boleh mencecah melebihi 40 darjah celsius dan disebabkan itu kita cuba bersama-sama dengan komuniti bagi menerangkan langkah-langkah sewajarnya perlu dilaksanakan oleh mereka,” katanya selepas Program Kick Off Food Safey di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan negeri, Megat Hashirat Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan, Gan Ay Ling.
Nexbyte sebelum ini melaporkan gelombang haba atau tahap dua direkodkan di Perlis dan Pokok Sena susulan mencatatkan suhu maksimum harian antara 37 hingga 40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama tiga hari berturut-turut.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) turut meramalkan kemuncak kesan El Nino yang kebiasaannya bermula pada penghujung Monsun Timur Laut boleh menyebabkan cuaca panas dan kering berterusan sehingga Mei ini.
Dalam pada itu, Ismuni berkata, setiap fasiliti kesihatan di negeri ini juga dilengkapi sistem pengawasan bagi memberi pemakluman sekiranya terdapat kes seperti keletihan haba atau strok haba.
“Kebiasaannya warga emas, kanak-kanak dan ibu mengandung merupakan golongan berisiko untuk terdedah kepada penyakit disebabkan cuaca panas ini.
“Oleh itu, semua pihak dinasihatkan untuk mengurangkan aktiviti luar dan berjaga-jaga sewaktu musim panas ini,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai program berkenaan, Megat Hashirat berkata, inisiatif pelaksanaan itu adalah merupakan tradisi bagi Jabatan Kesihatan negeri dalam memberikan pendedahan dan maklumat mengenai keselamatan makanan kepada peniaga serta orang awam.
Katanya, pemantauan juga turut dilaksanakan sebelum bermulanya bulan Ramadan di peringkat sumber meliputi bahan mentah dan tempat penyediaan makanan bagi peniaga yang telah dilesenkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)
“Pansempelan makanan berisiko di bazar Ramadan turut dijalankan dan diteruskan seperti biasa pada tahun ini,” katanya.-UTUSAN






