KOTA BHARU: Harga beberapa jenis kuih dan lauk yang dijual di bazar Ramadan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini berlaku kenaikan harga antara 50 sen hingga RM2.
Tinjauan Nexbyte mendapati kenaikan itu berlaku susulan peningkatan beberapa harga melibatkan beberapa jenis bahan mentah.
Bercakap kepada Nexbyte, seorang peniaga Wan Nur Fatin Auni Wan Azmi, 22, mengakui dia terpaksa menaikan harga jualan ayam percik sebanyak RM2.
“Tahun lepas saya jual ayam percik RM10 untuk seketul, tapi kali ini RM12. Kenaikan harga bahan mentah membuatkan saya tidak mempunyai pilihan kecuali berbuat demikian.
“Namun, setakat ini pelanggan memahami perkara tersebut dan mereka memilih untuk membelinya” katanya ketika ditemui semalam.
Bagi peniaga martabak, Wafiq Hamid, 26, dia terpaksa menaikan harga jualan sebanyak 40 sen menjadi RM4.
Katanya, hal ini kerana bahan mentah seperti telur dan gandum mengalami kenaikan menyebabkan dia tidak mempunyai pilihan.
“Tahun lalu saya menjual sekeping martabak pada harga RM3.50,” ujarnya.
Sementara itu, peniaga air balang, Aminah Abdullah, 64, berkata, dia masih mengekalkan 13 jenis air yang dijual untuk gelas besar dengan harga RM5, manakala gelas kecil RM3 sejak berniaga di bazar berkenaan tiga tahun lalu.
Ujarnya, niatnya menjual air itu sambil bersedekah apabila ada antara pelanggan yang membelinya lebih tiga atau empat gelas akan diberikan satu percuma.
“Saya akui harga susu dan gula juga meningkat, tapi setakat ini masih kekalkan harga yang sama seperti tahun sebelumnya,” katanya. – UTUSAN





