ARAU: Janaan sisa makanan hasil perniagaan di negeri ini menunjukkan penurunan sekitar 3.71 peratus berbanding tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, pada tahun ini, janaan sisa makanan yang direkodkan adalah sebanyak 1,782.45 tan metrik berbanding 1,851.12 tan tahun lalu.
“Kita lihat ada penurunan dan ini adalah kejayaan besar buat agensi-agensi kita yang bersama-sama dalam kempen ini,” katanya ketika ditemui elepas Program Kongsi Rezeki Bersempena Kempen Hargai Makanan Elak Pembaziran Bulan Ramadan 2024 di Bazar Ramadan Arau, di sini, semalam.
Sementara itu, Asrul Aimran memberitahu, sebanyak 200 kilogram (kg) lebihan makanan berjaya dikumpul oleh sukarelawan Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia Negeri Perlis di Bazar Ramadan Persiaran Wawasan dan Bazar Ramadan Arau sepanjang tiga hari bermula sejak Selasa lalu.
Katanya, semua lebihan makanan yang dikumpulkan itu adalah bertujuan untuk diedarkan kepada golongan memerlukan pada bulan Ramadan ini.
“Terdapat pelbagai jenis makanan berjaya diagihkan menerusi inisiatif berkenaan dan antara paling banyak dikumpulkan oleh sukarelawan adalah merupakan lebihan minuman.
“Persatuan Gema ini telah dapat bekerjasama dengan baik bagi mengumpulkan lebihan makanan berkenaan untuk menggelakkan pembaziran dan diagihkan kepada golongan memerlukan,” katanya.
Mengulas mengenai program itu, Asrul berkata, kempen berkenaan mendapat kerjasama beberapa agensi berkaitan antaranya Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), E-Idaman Sdn Bhd, Bahagian Kerajaan Tempatan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Majlis Perbandaran Kangar (MPK) dan beberapa lagi.
Tambahnya, menerusi kempen berkenaan, pihaknya cuba memberi penekanan kepada pengunjung agar dapat merancang pembelian mereka dengan sebaiknya bagi menggelakkan pembaziran.
“Di samping itu kita juga menyediakan mangkuk tingkat buat pengunjung dengan harapan dapat menggalakan pengurangan beg plastik,” katanya.-UTUSAN





