KUALA TERENGGANU: Trend berbuka puasa di kawasan lapang dan riadah yang semakin popular memberi tempias positif kepada peniaga tikar di bazar Ramadan Shahbandar di sini.
Rozita Salleh, 35, berkata, ketika mula menjual produk itu lapan tahun lalu, hanya dia seorang peniaga tikar di bazar Ramadan ini, namun jumlahnya meningkat kepada lima peniaga pada masa sekarang.
“Dulu hanya remaja atau individu yang masih bujang suka berbuka puasa di tepi pantai atau sungai.
“Namun, sejak akhir-akhir ini ia menjadi trend turut melibatkan kumpulan keluarga yang besar, rakan sepejabat dan persatuan atau komuniti setempat.
“Seiring perkembangan itu, tikar turut menjadi tumpuan pengunjung di bazar Ramadan dan tikar juga adalah sumber rezeki saya sepanjang Ramadan kerana ia laris bagaikan pisang goreng panas,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Tikar yang dijualnya berharga antara RM10 hingga RM20 bergantung kepada saiz. – UTUSAN






