KOTA BHARU: Taktik menjual menjual kad tambah nilai atau ID untuk pelanggan menyertai judi dalam talian yang berselindung di sebalik kedai telefon bimbit terbongkar selepas diserbu penguat kuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) semalam.
Kedua-dua lelaki berusia 25 dan 27 tahun itu masing-masing ditahan di premis menjual telefon pintar di Desa Rahmat dan Kampung Mentuan, Binjai di sini.
Yang Dipertua MPKB-BRI, Mohd. Anis Hussein berkata, anggota penguat kuasa menjalankan operasi penyamaran sebelum menahan dua lelaki terbabit dengan salah seorangnya merupakan warganegara Indonesia.
Menurutnya, mereka menjual pelbagai jenis telefon pintar bagi mengaburi mata pihak berkuasa sebelum turut menjual ID judi dalam talian di premis berkenaan.
“Anggota penguat kuasa melakukan penyamaran dengan berpura-pura hendak membeli ID judi dalam talian itu sebelum menahan mereka secara berasingan.
“Kedua-dua lelaki terbabit dipercayai mempunyai rangkaian yang sama dan aktif dalam kegiatan judi secara dalam talian sejak tiga bulan lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat MPKB-BRI di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Anis memberitahu, pihaknya turut mengeluarkan kompaun kepada suspek yang menjual telefon pintar di Desa Rahmat kerana gagal mempamerkan lesen perniagaan.
Katanya, anggota penguat kuasa MPKB-BRI turut mengeluarkan kompaun kepada pemilik premis di Kampung Mentuan selain menyita sebuah telefon bimbit, buku nota dan sejumlah rokok seludup. –UTUSAN






