LARUT: Kerajaan perlu bertindak tegas dalam isu penjualan stoking bertulis kalimah Allah di kedai serbaneka sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, isu penghinaan membabitkan agama Islam sudah berulang kali dilakukan dengan pelbagai cara.
Katanya, sehubungan itu kerajaan wajib mengambil tindakan tegas terhadap kes seperti ini supaya tidak timbul lagi isu penghinaan sedemikian.
“Ketegasan dalam tindakan perlu dilakukan bagi menjaga dan mengekalkan keharmonian dan ketenteraman.
“Jika isu penghinaan pertama kali berlaku, mungkin kita akan katakan ia tidak disengajakan. Jika kedua kali berlaku, kita akan kata mereka tak mahu dengar cakap. Jika tiga kali berlaku, kita akan katakan yang mereka ini degil.
” Tapi jika berulang kali berlaku, ini menunjukkan kejadian ini bukan sahaja terlepas (pandang), degil dan tak mahu dengar cakap tetapi seolah-olah disengajakan untuk menimbulkan perasaan marah umat Islam khususnya kaum Melayu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada majlis menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Larut di Selama di sini hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, orang Islam terutama kaum Melayu mempunyai kuasa beli yang tinggi.
Menurutnya, sudah tiba masanya untuk orang Islam bermuhasabah bagi melaksanakan fardu kifayah iaitu mengutamakan produk dan peniaga Islam.
“Nexbytekan dahulu produk orang kita dan bantu peniaga kita, InsyaAllah dengan tindakan yang diambil akan membuatkan orang yang sombong dan angkuh ini akan sedar dirinya nanti,” katanya. – UTUSAN






