BUTTERWORTH : Kertas siasatan berhubung kematian Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Mohd. Izwan Illias yang lemas ketika sedang menyelenggara bot di Jeti Pangkalan Marin Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Mak Mandin pada 22 Februari lalu bakal diperoleh dalam masa dua minggu lagi.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, ketika ini, jawatankuasa khas yang ditubuhkan itu masih menjalankan penyiasatan terperinci dan tumpuan diberikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) bagi penyelenggaraan bot.
“Siasatan berada di peringkat akhir dan kita sudah mengenal pasti serta merakam keterangan dua saksi yang berada bersama mangsa selain mengkaji segenap sudut kemungkinan yang berlaku (semasa kejadian).
“Siasatan dijangka siap dalam masa dua minggu sebelum kita rumuskan dapatan keseluruhan insiden terbabit disusuli dengan melihat apakah kaedah yang perlu ditambah baik pada SOP yang sedia ada,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke rumah keluarga Allahyarham Mohd. Izwan, di Pekan Darat di sini, hari ini.
Terdahulu, Nor Hisham bersama Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu menyampaikan bayaran pampasan kerajaan termasuk pampasan JBPM berjumlah RM272,923.07 kepada balu Allahyarham, Jamaliah Abd. Majid.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Pulau Pinang, Zakaria Taib.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Allahyarham Mohd Izwan meninggal dunia akibat lemas ketika sedang melakukan kerja menyelenggara bot dan jasadnya dijumpai selepas 19 jam operasi mencari dan menyelamat mangsa dijalankan.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan lima orang anak berusia enam hingga 16 tahun.
Dalam pada itu, Aiman Athirah berkata, beliau akan membantu menyelaraskan bantuan yang disalurkan bagi memastikan kebajikan keluarga Allahyarham Mohd. Izwan terjaga.
“JKM memaklumkan bahawa anak-anak ini layak untuk menerima Bantuan Kanak-Kanak (BKK) sehingga usia mereka mencecah 18 tahun.
“Jadi, saya akan membantu memastikan bantuan yang sudah direncana melalui sesi perbincangan bersama agensi sama ada di peringkat pusat dan negeri dapat dilaksanakan bagi memastikan keluarga ini mendapat bantuan yang diperlukan,” katanya.-UTUSAN






