GEORGE TOWN : Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia menawarkan khidmat kaunseling kepada keluarga pelajar kolej vokasional di Lahad Datu, Sabah yang dipercayai maut akibat dibuli semalam.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia adalah adalah prosedur biasa yang akan dilaksanakan pihaknya bagi membantu keluarga yang ditimpa musibah.
Katanya, KPWKM memiliki ramai kaunselor yang berpengalaman dalam memberikan sesi bimbingan dan kaunseling kepada mereka yang memerlukan.
“Itu memang prosedur biasa (lawatan) sekiranya terjadi sesuatu, maka kita akan menyantuni keluarga terbabit.
“Kita ada ramai kaunselor di seluruh negara yang berkemahiran serta memiliki kepakaran masing-masing untuk mengendalikan kes-kes tertentu yang memerlukan perhatian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika selepas menghadiri Program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang, di sini hari ini.
Turut hadir, Naib Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Razman Hashim dan Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Tan Sri Mohd Yussof Latiff dan aktor popular, Datuk Aaron Aziz.
Semalam, media melaporkan bahawa seorang pelajar lelaki sebuah kolej vokasional dijumpai mati dalam bilik asrama dipercayai akibat dibelasah rakan awal pagi semalam.
Mangsa, Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, dijumpai oleh warden asrama yang bertugas pada pukul 6.50 pagi dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas kesihatan Hospital Lahad Datu.-UTUSAN






