JOHOR BAHRU: Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi merai kira-kira 100 pengamal media cetak dan elektronik pada Majlis Berbuka Puasa di sini.
Onn Hafiz dalam ucapannya berkata, peranan media banyak membantu dalam menyiarkan maklumat dan sumber kepada bangsa Johor.
“Tanpa penyaluran berita yang tepat sudah tentu rakyat di Johor tidak mengetahui pembangunan yang dicapai untuk menjadikan Johor Maju.
“Terima kasih kepada pengamal media Johor,” dalam ucapan ringkasnya pada Majlis Berbuka Puasa di Saujana.
Presiden Gabungan Kelab Media Malaysia merangkap Presiden Kelab Media Johor, Mohd. Fauzi Ishak berkata, memang menjadi kewajipan media arus perdana menyiarkan berita yang tepat dan sahih.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Johor kerana banyak membantu memberikan berita sama ada melalui sidang media ataupun dalam laman media sosial.
“Sebagai penaung kepada Kelab Media Johor (KMJ) sudah tentu peranan media Johor akan membantu menyalurkan maklumat terutama mengetengahkan masalah rakyat dan juga pembangunan di negeri Johor,” katanya kepada Utusan. – UTUSAN






