KUALA TERENGGANU: Penemuan muntah paus tulen atau ambergris di perairan Malaysia khususnya di perairan Pantai Timur agak mustahil kerana mempunyai purata kedalaman yang cetek.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu, Prof. Madya Dr. Hasrizal Shaari berkata, pembentukan ambergris adalah daripada proses yang berlaku secara tidak sengaja oleh sistem pencernaan ikan Paus Sperma apabila memakan sotong-sotong.
Menurutnya, jenis sotong yang dimakan pula adalah sotong-sotong gergasi di perairan laut yang dalam.
Katanya, berdasarkan faktor itu, spesis ikan paus sperma turut dikenali sebagai ‘deep diver’.
“Jadi saya boleh katakan adalah mustahil atau peluang sangat tipis untuk kita menemui ambergris di perairan Pentas Sunda kerana purata kedalamannya adalah kurang daripada 100 meter.
“Lemak-lemak atau minyak yang terapung di permukaan laut daripada sumber-sumber tertentu juga mampu membentuk objek yang seakan-akan ambergris disebabkan oleh tindakbalas cahaya matahari dan air laut,” katanya ketika dihubungi Nexbyte hari ini.
Baru-baru ini, seorang penduduk, Mahamud Kechik, 60, mendakwa menemukan objek dipercayai muntah paus seberat lapan kilogram di Pantai Kelulut, Marang dekat sini.
Berikutan penemuan itu, Mahamud mendakwa menerima tawaran lumayan daripada beberapa individu yang datang ke rumahnya di kampung Rhu Muda dengan hasrat membeli objek yang dipercayai menyerupai muntah paus untuk dijadikan ramuan dalam perubatan tradisional cina.
Mengulas lanjut, Hasrizal berkata, kebanyakan sampel yang dipercayai muntah paus yang telah dianalisa di makmal PPPL UMT satu ketika dahulu mendapati terdapat komponen lemak yang seakan-akan berasal daripada minyak masak.
“Jadi tidak hairanlah sekiranya penemuan ketulan-ketulan yang seakan-akan ambergris ini boleh berlaku seperti mana yang dilaporkan itu.
“Namun, sekiranya terdapat keyakinan yang tinggi bahawa ketulan yang dijumpai itu adalah ambergris, analisa makmal boleh dilakukan bagi mengesahkan ketulenannya,” katanya. – UTUSAN





