GEORGE TOWN : Kerajaan Perpaduan digesa agar memecahkan monopoli beras putih bagi memulihkan bekalan beras selain memastikan harga beras putih dijual pada kadar berpatutan serta stabil di pasaran.
Timbalan Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, Kerajaan Perpaduan akan hilang kepercayaan rakyat sekiranya gagal menangani isu berkaitan bekalan dan harga beras yang merupakan makanan ruji rakyat Malaysia ini.
“Kami (Gerakan) menggesa Kerajaan Perpaduan agar ‘berani’ untuk memecahkan monopoli beras putih bagi memulihkan bekalan dan menstabilkan harga.
“Ini kerana masalah monopoli dan kartel padi dan beras negara semakin serius dan kerajaan perlu bertindak segera bagi mengelak rakyat terpaksa membeli beras pada harga yang terlalu mahal,” katanya di sini hari ini.
Sebelum ini, isu berkaitan kartel dan monopoli beras tempatan itu turut didedahkan oleh Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal.
Syed Hussin berkata, terdapat kartel beras putih tempatan membabitkan empat hingga lima syarikat di negara ini yang dipercayai bertindak mengawal jual beli padi dan makanan ruji ini sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.
Jelas Syed Hussin, maklumat itu diperoleh hasil daripada libat urus yang dijalankan bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.
Dalam pada itu, Tong Keong mendakwa, kos sara hidup rakyat meningkat akibat daripada kenaikan bil elektrik, tarif air, tambang pengangkutan awam, kadar cukai perkhidmatan logistik dan lain-lain selepas Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.
“Keadaan ini menunjukkan Kerajaan Perpaduan tidak mampu dan tidak cekap mentadbir negara kita,” katanya.-UTUSAN






