PETALING JAYA: Pendidikan satu aliran di peringkat sekolah dapat mengurangkan potensi perpecahan dalam kalangan masyarakat membabitkan perbezaan budaya, agama dan kepercayaan.
Mempertahankan kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Salleh, Exco pergerakan itu, Datuk Seri Fariz Hazurin Ismail berkata, kenyataan ketuanya berkaitan penekanan pendidikan satu aliran perlu dilihat dalam konteks memupuk negara bersatu padu dan harmoni.
Menurutnya, pelaksanaan pendidikan satu aliran dapat mengukuhkan integrasi sosial dalam kalangan pelajar.
“Ini bermakna sistem pendidikan tidak akan membezakan antara pelajar berdasarkan aliran atau latar belakang mereka, seterusnya dapat mengurangkan perasaan perbezaan dan meningkatkan persefahaman antara pelbagai kelompok masyarakat.
“Penyatuan sistem pendidikan negara adalah penting kerana ia dapat membantu merapatkan jurang perbezaan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Fariz Hazurin berkata, kenyataan Akmal juga penting dalam konteks pembinaan masyarakat yang harmoni dan bertamadun.
“Melalui pendidikan yang mengutamakan nilai-nilai kesederhanaan, keadilan dan kesaksamaan, kita dapat membentuk generasi muda yang lebih terbuka dan menerima perbezaan sebagai kekayaan yang mengukuhkan kekuatan kolektif,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Subang berkata, saranan Akmal juga perlu dilihat dari sudut aspirasi untuk mengukuhkan perpaduan dan kesaksamaan dalam masyarakat.
Katanya, pendidikan satu aliran dapat memastikan setiap individu diberi peluang yang sama untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau kepercayaan mereka.
“Ini penting untuk memupuk negara yang inklusif dan progresif, di mana setiap rakyat merasa dihargai dan diiktiraf atas sumbangan dan potensi individu mereka. Oleh itu, adalah penting untuk kita menyokong Akmal dalam usahanya membawa perubahan positif dalam sistem pendidikan negara,” katanya.
Sebelum ini Pemuda UMNO meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular yang merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan (SJK).
Ia termasuk aspek keselarasan silibus, penerapan nilai kenegaraan, penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, ruang dan peluang penambahbaikan ekosistem pendidikan kebangsaan perlu dilaksana bagi memberi insentif serta tarikan kepada penyertaan murid berbilang bangsa.
Cadangan tersebut bagaimanapun mendapat kritikan daripada pelbagai pihak termasuk bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, P. Ramasamy. – UTUSAN





