KUALA TERENGGANU: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu menyelamatkan seekor beruang matahari yang tersesat di Kampung Telaga Batin dekat Kuala Nerus, semalam.
Pengarah Perhilitan Terengganu, Loo Kean Seong berkata, beruang itu dipercayai beruang sama tular baru-baru ini kerana tersesat di sekitar kawasan Tok Jembal, Kuala Nerus.
Menurutnya, sebaik sahaja mendapat laporan mengenai kehadiran haiwan liar itu pada Selasa, Perhilitan Terengganu telah memasang perangkap keesokan harinya.
“Setelah dua hari membuat pemantauan dalam menjejak beruang matahari itu, akhirnya haiwan liar itu masuk ke dalam perangkap pagi semalam dan kini berada dalam pemantauan Perhilitan Terengganu.
“Ia adalah beruang betina dengan berat lebih kurang 65 kilogram dan anggaran umurnya sekitar lima tahun,” katanya ketika dihubungi di sin, hari ini.
Isnin lalu, penduduk sekitar kawasan perumahan berdekatan Tok Jembal, di Kuala Nerus gempar dengan kehadiran seekor beruang matahari yang dipercayai tersesat di kawasan itu.
Sebuah video berdurasi 21 saat juga tular yang memaparkan gelagat beruang matahari itu cuba memanjat pagar di kawasan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, beruang matahari itu akan dilepaskan ke hutan simpan berdekatan untuk kemandirian spesies tersebut.
“Orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan kepada Perhilitan Terengganu sekiranya terserempak dengan mana-mana haiwan liar agar jabatan dapat menyelamatkan haiwan liar tersebut dan mengurangkan risiko ancaman kepada orang ramai.
“Paling penting jangan dedahkan lokasi penemuan kedana bimbang dengan ancaman pemburu haram,” katanya. – UTUSAN






