KOTA BHARU: Permintaan pulut ayam yang naik sekali ganda menyebabkan seorang peniaga di Pasar Gok Kapur di sini tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan tersebut sepanjang bulan Ramadan.
Bercakap kepada Nexbyte, Rosnani Mat, 31, berkata, sepanjang Ramadan dia menggunakan 40 kilogram (kg) beras pulut dan 80 ekor ayam bagi memenuhi permintaan pelanggan.
“Jika hari-hari biasa, saya hanya memasak 20 kg beras pulut dan 50 ekor ayam.
“Alhamdulillah, walaupun penat, namun saya bersyukur kerana semua pulut ayam habis terjual sebelum masuk waktu berbuka,” katanya ketika ditemui Nexbyte di sini, semalam.
Rosnani memberitahu, dia menjual pulut ayam pada harga RM6 sebungkus bersama pencecah dan bawang goreng.
Katanya, pulut ayam tersebut merupakan resipi turun-temurun daripada ibunya yang pernah berniaga makanan itu sejak 30 tahun lalu. – UTUSAN






