KUCHING: Sarawak akan terus menjalinkan kerjasama dengan Indonesia dan bersedia memberikan bantuan dalam melaksanakan pembangunan di ibu kota baharunya, Nusantara.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ia sejajar dengan cadangan negara republik itu untuk mengembangkan lagi pembangunan tenaga hidronya.
“Sebenarnya kita sudah ada jalinan kerjasama dengan Indonesia. Malah kita (Sarawak) memiliki 25 peratus pegangan saham dalam pembangunan hidro, menerusi penyertaan Sarawak Energy Berhad (SEB) dalam projek Empangan Hidro Elektrik (HEP) Mentarang di Malinau, Kalimantan Timur, yang menjanakan tenaga kepada Kalimantan.
“Sebab itu, apabila mereka membuka sempadan dan mengizinkan kapal terbang kita untuk mendarat ke Pontianak, dan Pontianak ke Sarawak, ia akan memberikan peluang kerjasama yang lebih erat di antara Indonesia dan Sarawak,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 (SR24) anjuran Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak yang berlangsung di Wisma Bapa Malaysia, di sini semalam.
Tambah Abang Johari, Sarawak turut mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Indonesia untuk meneroka bidang kerjasama seperti import dan eksport barangan.
“Selain tenaga, kita juga dimaklumkan KADIN (Dewan Perdagangan dan Perindustrian Indonesia) di Kalimantan telah mengadakan mesyuarat dengan Sarawak menerusi DUBS (Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak) dan Dewan Perdagangan dan Perindustrian Sarawak untuk meneroka bidang lain.
“Ini termasuk eksport barangan kita dan import barangan dari Kalimantan,” kata Abang Johari.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan media berdasarkan kenyataan Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin yang menggalakkan syarikat di Malaysia mengambil peluang daripada prospek pelaburan di wilayah Kalimantan Timur, terutama di Samarinda dan Balikpapan berhampiran dengan Nusantara. –UTUSAN






