PETALING JAYA: Walaupun berstatus saudara baharu, tiga mualaf antara individu bertuah selepas terpilih untuk menunaikan umrah dengan ditaja sepenuhnya bagi menghayati Islam.
Ketiga-tiga mualaf itu iaitu Nur Ain Sumaiyah, Nur Wafa Abdullah dan Muhammad Hafiz Abdullah yang mendapat tajaan umrah daripada Pertubuhan Akademi Al Bayan.
Pengarah Eksekutif Pertubuhan Akademi Al Bayan, Dr. Nur Mohammad Hadi berkata, pemilihan ketiga-tiga mualaf tersebut secara profesional dengan mengikut kemampuan dan kebolehan mendalami agama Islam.
Katanya, inisiatif tersebut secara tidak langsung turut memberi peluang kepada mereka menyaksikan sendiri tempat-tempat yang signifikan dengan sejarah Islam.
“Ketiga-tiga mualaf bertuah itu dipilih secara profesional daripada lebih seratus permohonan yang diterima.
“Antara kriteria yang kita mahu daripada mualaf terlibat ialah boleh membaca al-Quran kerana mengutamakan ibadah selain dalam kalangan B40 atau asnaf serta mempunyai pekerjaan dalam bidang dakwah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Nur Muhammad, pihaknya juga mendapat kerjasama daripada pengelola umrah dengan mengenakan harga istimewa iaitu sebanyak RM6,990 kepada setiap mualaf bagi tempoh 20 hari.
Dalam pada itu, Nur Muhammad berkata, bagi memastikan mualaf terbabit tidak terbeban dari segi kewangan, pihaknya juga menyumbangkan sebanyak RM1,000 sebagai duit belanja ketika berada di Tanah Suci Mekah.
“Kita sentiasa berusaha untuk memastikan golongan itu tidak dipinggirkan kerana mahu mereka mendalami Islam secara lebih mendalam.
“Ini adalah penanda aras kami kerana baru pertama kali menaja mualaf ke Tanah Suci serta berharap mereka memahami perjuangan nabi supaya dapat berdakwah kembali apabila pulang ke tanah air,” jelasnya. – UTUSAN






