BALIK PULAU : Seorang ahli perniagaan ditahan polis di Bayan Lepas semalam selepas disyaki terlibat dalam kes penipuan pelaburan minyak enjin kenderaan (MPOA) sehingga menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM240,000.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintenden Kamarul Rizal Jenal berkata, lelaki berusia 51 tahun itu kini direman sehingga 17 Mac bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan laporan, mangsa merupakan seorang wanita berusia 24 tahun dan bekerja sebagai pengurus besar di sebuah syarikat.
“Mangsa telah diperkenalkan dengan suspek oleh bapa angkatnya untuk melabur di dalam syarikat suspek,” katanya di sini, hari ini.
Kamarul Rizal berkata, mangsa telah bersetuju untuk melabur sebelum membuat pemindahan wang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM240,000.
Selain itu, mangsa turut dijanjikan keuntungan sebanyak RM50,000 sebulan, namun, mangsa mendakwa dia hanya menerima RM1,000 sahaja dan merasa telah ditipu,” katanya.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati, suspek telah menggunakan wang yang dilaburkan oleh mangsa untuk menjalankan projek baharu yang lain.
“Ini kerana projek minyak enjin tidak dapat dijalankan disebabkan mempunyai masalah rundingan dengan kontraktor projek.
“Siasatan lanjut masih dijalankan ketika ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.-UTUSAN






