TANJUNG MALIM: Titah Yang Dipertuan Agong susulan penjualan stoking bercetak kalimah Allah yang dikesan di sebuah kedai serbaneka harus dijadikan asas supaya perkara sama tidak berulang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyambut baik titah Sultan Ibrahim itu berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan walaupun pasar raya tersebut telah memohon maaf.
Menurutnya, ini kerana perkara itu bukan hanya masalah agama dan kaum yang pada hemat beliau harus diselesaikan.
“Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku lagi dan tentunya akan lebih berhati-hati dan kita harap mana-mana pasar raya yang ada rangkaian di seluruh negara belajar dari kesilapan ini.
“Kita tidak mahu ada yang mengambil ringan, apatah lagi yang mengambil kesempatan atau disalah tafsir dan ditunggangi
“Diharapkan pandangan tuanku Agong dijadikan sebagai asas,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda di sini hari ini.
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini murka, apabila isu membabitkan kalimah Allah kembali timbul.
Baginda turut menzahirkan rasa dukacita susulan penjualan stoking bercetak kalimah suci itu, yang dikesan di sebuah kedai serbaneka.
Sultan Ibrahim bertitah, perkara tersebut pernah baginda titahkan sewaktu berangkat ke Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Parlimen bulan lalu.
Titah Yang di-Pertuan Agong, baginda ketika itu mengingatkan semua lapisan masyarakat supaya menjaga keharmonian negara dan tidak memainkan isu sensitif melibatkan agama, kaum dan Raja-Raja. – UTUSAN






