DUNGUN: Umat Islam di negara ini dinasihatkan supaya mengelakkan daripada terlibat dengan sebarang ajaran sesat yang boleh merosakkan akidah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, setiap umat Islam sepatutnya memahami tentang agama Islam yang bersandarkan kepada al-Quran dan hadis.
Pada masa sama, menurutnya, Majlis Agama Islam Negeri-negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri juga mengeluarkan fatwa berhubung dengan ajaran sesat yang boleh menjadi panduan.
“Kenapa perlu pergi ke ajaran-ajaran yang tidak sahih dan ini mesti dielakkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah di Masjid Sultan Mahmud, Bandar Al Muktafi Billah Shah di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Datuk Seri Ahmad Said.
Ahmad Zahid memberitahu, isu berkaitan ajaran sesat ini juga berada di bawah kuasa raja-raja.
Nexbyte hari ini melaporkan terdapat dakwaan bekas pengikut Ayah Pin untuk menghidupkan semula ajaran sesat tersebut daerah Besut sehingga menimbulkan kebimbangan umat Islam di Terengganu.
Pendedahan itu dibuat oleh seorang individu dipercayai seorang pegawai masjid yang menggunakan nama Imam Muda Kulan di laman Facebooknya, kelmarin.
Melalui perkongsian di Facebook itu, Imam Muda Kulan atau nama sebenarnya, Tengku Azlan Raja Mamat mendedahkan maklumat terdapat usaha untuk menghidupkan semula ajaran sesat itu dalam kalangan pengikutnya. – UTUSAN






