JOHOR BAHRU: Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook bernama Ganesparan Nadaraja kerana memuat naik video menghina agama Islam di platform media sosial berkenaan.
Yang DiPertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd. Yunus sehubungan itu berkata, pihaknya menuntut tindakan tegas diambil terhadap individu berkenaan.
Menurut beliau, laporan polis sama akan turut dibuat kesemua 12 cawangan negeri YADIM di seluruh negara dalam masa terdekat.
“Saya melihat bukan hanya penghinaan pada sultan itu tidak wajar, tetapi juga perkataan tidak senonoh yang ditujukan kepada beberapa orang yang lain serta maki hamun, itu bukan ciri-ciri rakyat Malaysia sebenarnya.
“Tetapi jika dia rakyat Malaysia, tindakan perlu diambil terhadapnya,” katanya kepada pemberita.
Laporan polis tersebut dibuat Pengarah YADIM Johor, Muhamad Ammar Abdullah di Balai Polis Tampoi di sini pada pukul 2.34 petang, semalam.
Tambah Hasanuddin, rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang kaum dan agama perlu menghormati antara satu sama lain, khususnya agama Islam yang merupakan agama rasmi negara ini.
“Negara ini ada perlembagaan, ada Rukun Negara, khususnya tentang keluhuran perlembagaan dan undang-undang. Jadi, kita nasihatkan orang ramai agar lebih peka dan sensitif dengan isu agama, raja dan kaum (3R),” tambahnya.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain memberitahu, polis gagal mengeluarkan notis merah terhadap Ganesparan yang memuat naik video menghina agama Islam baru-baru ini.
Menurutnya, perkara itu ekoran isu agama dan perkauman tidak tersenarai dalam Artikel 3, Polis Antarabangsa (Interpol).
Ganesparan yang didakwa menghina agama Islam, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati tidak pernah pulang sejak meninggalkan negara ini.
Dia kini dipercayai berada di Eropah manakala video tular berkenaan dipercayai dimuat naik dari luar negara. – UTUSAN






