MARANG: Seramai 163 banduan dari Penjara Marang di sini dilepaskan melalui program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBLS) Ihsan Madani – Kepulangan Yang Dinanti sempena Hari Raya Aidilfitri 2024, hari ini.
Pengarah Penjara Terengganu, Penolong Kanan Komisioner Hamid Taha berkata, pembebasan itu adalah untuk memberi ruang kepada mereka menyesuaikan diri dengan komuniti sebelum dibebaskan mengikut tempoh sebenar hukuman berakhir.
Menurutnya, kesemua banduan yang dilepaskan adalah mereka yang melakukan kesalahan-kesalahan kecil seperti mencuri di kedai runcit, menceroboh kawasan larangan dan memiliki dadah (jumlah yang kecil).
“Semua mereka juga akan terus dipantau dan perlu melaporkan diri mengikut jadual yang ditetapkan oleh pihak penjara.
“Kita berharap semua mereka akan memanfaatkan pembebasan ini dengan penuh keinsafan dan kesyukuran untuk menjadi insan yang lebih baik pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Banduan yang paling muda dilepaskan hari ini ialah berumur 23 tahun manakala banduan tertua pula 55 tahun.
Mengulas lanjut, beliau berkata, pelepasan secara lesen itu juga akan memberi peluang kepada banduan untuk memiliki pekerjaan demi masa depan yang lebih baik.
“Kebanyakan mereka diterima masuk untuk bekerja dalam bidang perkilangan, perladangan, penternakan dan produk pembuatan makanan haiwan.
“Gaji mereka sama sahaja dengan pekerja di luar iaitu tidak kurang dari RM1,500 sebulan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, semua banduan yang masih berada dalam penjara akan diberi kebenaran untuk berjumpa keluarga mereka pada hari raya ketiga Aidilfitri nanti.
“Semoga pertemuan itu nanti dapat meleraikan kerinduan masing-masing dan tanda kesediaan keluarga untuk menerima kepulangan banduan selepas hukuman berakhir,” katanya. – UTUSAN






