KUALA TERENGGANU: Seramai 60 keluarga asnaf menerima bantuan bakul makanan dan zakat daripada syarikat induk pelaburan kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) pada Program Jejak Ramadan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk di sini, semalam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun berkata, Program Jejak Ramadan sempena sambutan bulan mulia ini melibatkan peruntukan sebanyak RM45,000.
Menurutnya, melalui program tersebut, setiap keluarga diberikan wang zakat sebanyak RM300, bakul makanan serta pakaian raya.
Katanya, bakul makanan dan bantuan wang tunai itu juga dikumpulkan oleh kakitangan Terengganu Inc melalui kutipan sumbangan yang dijalankan sepanjang Ramadan ini.
“Seramai 50 kakitangan Terengganu Inc terlibat dalam pengagihan bantuan kepada keluarga asnaf yang telah dikenal pasti di sekitar Chendering, Kampung Raja dan Kuala Ibai.
“Program ini dilakukan dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Sekolah Kebangsaan Chendering dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bagi memastikan sumbangan diagihkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada keluarga asnaf di Flat Desa Keluarga YPK dekat Chendering di sini, semalam.
Selain Jejak Ramadan, Burhanuddin Hilmi memberitahu, beberapa program tanggungjawab sosial korporat (CSR) turut dilaksanakan pada Ramadan kali ini termasuk agihan bubur lambuk di Masjid Abidin, Kuala Terengganu.
Sementara itu, beberapa penerima pula menyifatkan bantuan itu dapat meringankan kewangan mereka untuk menyambut Aidilfitri dengan lebih ceria
Rosli Abdullah, 69 berkata, dia hanya mengharapkan anak perempuannya tunggalnya untuk menyara kehidupan bersama seorang lagi anak yang kurang upaya.
“Memang ada dapat bantuan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu serta Jabatan Kebajikan Masyarakat yang keseluruhannya berjumlah RM700, namun ia masih tidak mencukupi.
“Saya pula menghidap strok dan darah tinggi, perlu berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan,” katanya. – UTUSAN






