BUKIT MERTAJAM : Sebanyak 8,000 liter minyak diesel bersubsidi yang disyaki diseleweng dirampas dalam satu serbuan di sebuah stesen minyak di sini oleh sepasukan anggota penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang, semalam.
Pengarah KPDN negeri, S. Jegan berkata, dalam serbuan sempena Ops Tiris 3.0 itu, pihaknya turut menyita sebuah lori yang dipercayai digunakan untuk membawa diesel tersebut.
Terdahulu katanya, lori yang ditutup dengan kanvas itu dijumpai oleh pasukan anggota penguatkuasa terbabit ketika sedang menjalankan pemeriksaan ke atas stesen minyak berkenaan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati, bahagian belakang lori tersebut telah diubahsuai dan ia disyaki mengandungi muatan minyak diesel.
“Rampasan dan sitaan kemudian dibuat ke atas lori seberat enam tan jenis Hino itu bersama satu unit tangki besi berkapasiti 10,000 liter serta satu set pam motor dan hos paip untuk tindakan lanjut.
“Nilai rampasan minyak diesel itu adalah sebanyak 8,000 liter iaitu bernilai kira-kira RM17,200 sekaligus menjadikan nilai anggaran barang rampasan keseluruhan adalah berjumlah RM55,200,” katanya di sini, hari ini.
Menurut Jegan, kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam aktiviti atau rantaian pengedaran minyak diesel itu termasuklah sumber dari mana minyak diesel diperolehi serta edaran yang dibuat oleh mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.
“Ketika ini juga, KPDN Pulau Pinang sedang giat melakukan pengawasan dan rondaan di sekitar Pulau Pinang bagi mengekang ketirisan aktivti penyeludupan barangan kawalan dan bersubsidi.
“Dalam hal ini, kami akan terus komited dan konsisten untuk menggerakkan tindakan penguatkuasaan selain tidak akan sesekali berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang di bawah KPDN,” katanya.
Tambah Jegan, pengguna juga diseru agar menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa bagi menyalurkan maklumat kepada berhubung sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi.-UTUSAN





