KUALA TERENGGANU: Ajaran Ayah Pin merupakan antara tiga ajaran sesat yang masih dipantau kerajaan Terengganu kerana menyeleweng daripada akidah Ahli Sunnah Wal-Jamaah bagi mengelak umat Islam di negeri ini mengamalkannya.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, dua lagi ajaran yang diwartakan sesat oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Mufti Negeri Terengganu ialah ajaran Mohib Khouli dan ajaran Kanzun Makhfiyyan.
Menurutnya, pemantauan itu dilaksanakan Pegawai Penguat Kuasa Syariah, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
“Tindakan penguatkuasaan juga diambil sekiranya ajaran itu terus disebarkan di Terengganu mengikut Seksyen 10 (menghina atau mengingkari pihak berkuasa agama) atau Seksyen 12 (pendapat yang bertentangan dengan fatwa).
“Memang kita ada terima laporan daripada orang ramai mengenai cubaan untuk menghidupkan semula ajaran Ayah Pin baru-baru ini.
“Aduan tersebut telah diambil tindakan sewajarnya berdasarkan Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Terengganu) 2001. Kesemua kes tersebut masih dalam proses risikan dan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Dr. Riduan Mohamad Nor (Pas-Jertih) yang ingin tahu mengenai ajaran-ajaran sesat yang wujud di Terengganu selain ajaran Ayah Pin dalam sesi soal lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Sebelum ini, Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) mengeluarkan fatwa ajaran Ayah Pin sesat mengikut Seksyen 25 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam 1986 dan ajaran itu diwartakan haram pada tahun 1997.
Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, kerajaan negeri sangat memandang serius ajaran sesat di Terengganu dan pelbagai tindakan proaktif telah diambil untuk mencegahnya.
“Ini penting agar umat Islam terpelihara akidah mereka di samping memperkasakan kegiatan dakwah, kuliah dan pengajian agama untuk memberi kesedaran kepada umat Islam supaya berwaspada dengan ajaran sesat yang menyimpang dari ajaran Islam sebenar,” katanya. – UTUSAN






