LARUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, notis tersebut akan dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat tetapi ditangguhkan untuk parti itu memberikan fokus pada PRK Kuala Kubu Bharu.
Menurutnya, sebaik sahaja selesai mesyuarat itu nanti, beliau akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan Ahli Parlimennya dan ADUN yang menyokong Perdana Menteri.
“Satu jawatankuasa telah ditubuhkan untuk melihat secara terperinci bentuk tindakan yang harus diambil dan ia akan dilakukan mengikut langkah-langkah yang perlu.
“Kita akan pastikan segala tindakan yang kita ambil mengikut undang-undang. Selepas ini kita akan adakan mesyuarat Majlis Teringgi untuk mengesahkan segala tindakan yang saya ambil. Arahan itu akan saya terima daripada Majlis Tertinggi dan kemudian saya akan hantar (notis) bukan hanya kepada enam Ahli Parlimen dan Adun terlibat tetapi kepada semua wakil rakyat kita.
“Sepatutnya kita adakan mesyuarat (Majlis Tertinggi) secepat mungkin tapi ada PRK, maka kita bagi fokus pada RPK dahulu, selepas itu kita adakan mesyuarat dan ambil tindakan seterusnya. Selepas mesyuarat Majlis Tertinggi, esoknya saya akan hantar surat (notis),” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Larut di Felda Ijok, Selama di sini hari ini.
Ditanya sama ada notis yang dimaksudkan ialah notis pemecatan, Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, semua pihak perlu menunggu sehingga notis tersebut dikeluarkan.
“Yang penting (tindakan) kita ikut undang-undang, ia akan dibuktikan nanti,” katanya.
Ditanya mengenai reaksi ‘tidak kisah’ Ahli Parlimen terlibat mengenai notis yang akan dikeluarkan kepada mereka, Hamzah berkata, tindakan mereka itu hanya untuk melegakan hati sendiri.
“Tak payah nak komen, bila dia kena esok baru dia tahu. Biarkan, sebab manusia mempunyai perasaan, kadang-kadang dia psycho diri dia, sebenarnya dia takut, sebenarnya dia nak melegakan hati dia,” katanya.
Sebelum ini, Bersatu menyerahkan kepada Hamzah untuk mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam Ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri.
Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, parti sudah berbincang dan membuat keputusan berhubung perkara itu. – UTUSAN






