PETALING JAYA: Penempatan seramai 6,034 guru baharu Lantikan Secara Kontrak (COS) di sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan (KPM) seluruh negara diharap dapat menangani isu keciciran pembelajaran.
Bercakap kepada Nexbyte, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, perkembangan intervensi kurikulum yang dilaksanakan sebulan lalu dilihat bergerak perlahan dan belum menampakkan hasil.
“Situasi ini berlaku walaupun guru-guru telah dipanggil untuk mengukuhkan pengajaran subjek matematik dan sains.
“Pengumuman sebanyak lebih 6,000 pengambilan guru COS, baru-baru ini diharapkan dapat menangani isu keciciran pembelajaran ini,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Rabu lalu, KPM mengumumkan seramai 6,034 guru baharu COS ditempatkan di seluruh negara bermula 15 April lepas.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, seramai 1,858 calon daripada keseluruhan jumlah guru itu ditempatkan di sekolah menengah dan seramai 4,176 lagi di sekolah rendah.
Jelasnya, penempatan guru baharu COS dibuat berdasarkan kepada tiga prinsip asas iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen atau mata pelajaran semasa di sekolah.
Terdahulu, KPM mengumumkan pelaksanaan empat intervensi kurikulum untuk menangani isu keciciran pembelajaran.
Mohd. Azizee berkata, KPM sedang mengadakan sesi libat urus dan jerayawara penataran kurikulum 2027 bagi mendapat input dan pandangan pelbagai pihak untuk menangani isu subjek yang padat serta aras tinggi bagi mengelakkan keciciran murid.
Beliau berharap langkah drastik dan agresif KPM dengan pengumuman empat inisiatif tersebut dapat digerakkan dengan sebaik-baiknya.
“Pada masa yang sama, saya berharap isu kelas padat dan sekolah ramai murid dapat ditangani bagi mengelakkan isu keciciran murid,” katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon berkata, sehingga kini masih tiada perkembangan berkaitan intervensi yang dilaksanakan baru-baru ini.
“Intervensi ini masih baru, ia memakan masa yang agak lama untuk dilaksanakan oleh para guru. Setakat ini, para guru masih tiada sebarang maklum balas mengenai intervensi kurikulum yang dilaksanakan ini,” katanya. – UTUSAN






