KOTA KINABALU: Perubahan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah perlu dilakukan segera bagi membolehkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) memberi fokus kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada tahun depan.
Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew berkata, memandangkan PRN akan diadakan pada tahun depan maka, pergolakan yang berlaku dalam pertukaran Pengerusi MPN harus diselesaikan.
Beliau yakin, kehadiran Perdana Menteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 20 April ini akan membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku dalam kepimpinan PKR Sabah.
“Kita sedia maklum PRN akan diadakan pada tahun depan dan PKR memang akan mengambil bahagian dalam PRK, jadi penting untuk kita menyelesaikan perkara ini dan saya yakin Presiden PKR akan dapat menyelesaikannya,” katanya semasa ditemui selepas majlis berbuka puasa Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, semalam.
Christina berkata, Presiden PKR akan datang sempena majlis rumah terbuka Aidilfitri di Sabah pada 20 April dan sekali gus akan berjumpa dengan pimpinan PKR Sabah bagi memutuskan Pengerusi MPN yang baharu.
Kata beliau, perkara yang berlaku dalam pimpinan PKR Sabah bukan sesuatu yang luar biasa dan ia tidak akan memecahbelahkan PKR Sabah.
“Saya sudah berada dalam PKR selama 22 tahun dan perubahan Pengerusi MPN dan ahli-ahli parti adalah perkara biasa. Malah, dalam parti lain pun berlaku keadaan sebegitu.
“Perjuangan politik bukan senang, ia memerlukan kesabaran dan saya yakin Presiden akan dapat menyelesaikan isu ini. Selepas itu, semua pemimpin dan ahli parti akan kembali bersatu untuk menggerakkan jentera bagi menghadapi PRN pada tahun depan,” katanya.
Menurut beliau, antara nama yang disebut-sebut menggantikan Pengerusi MPN Sabah, Datuk Sangkar Rasam adalah Ketua Cabang Kota Belud yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Pada 18 Mac lalu, 15 ketua cabang PKR Sabah menggesa Sangkar berundur sebagai Pengerusi MPN Sabah kerana didakwa gagal memperkasakan parti.
Ketua-ketua Cabang yang menandatangani akuan bersumpah (SD) menolak Sangkar sebagai Pengerusi MPN adalah dari Kota Marudu, Kota Belud, Kota Kinabalu, Sepanggar, Tuaran, Pensiangan, Sipitang, Beaufort, Beluran, Kinabatangan, Papar, Kimanis, Kalabakan, Batu Sapi dan Semporna. –UTUSAN






