PETALING JAYA: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menempatkan dua alat pengukuran tahap kualiti udara di kawasan penerima terdekat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Meru, Klang bagi memantau situasi pada masa kini susulan insiden pelepasan asap tebal kebakaran.
Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, pengukuran gas pencemar menggunakan alat penganalisis pelbagai gas mudah alih yang menggunakan teknologi spektroskopi inframerah transformasi Fourier (FTIR) setakat pukul 8 malam semalam tidak mengesan sebarang gas toksik di udara.
“Namun, pengukuran tahap kualiti udara masih diteruskan secara berkala sehingga keadaan kembali seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, sebuah kilang memproses cat di Taman Perindustrian Meru terbakar pada 6.20 pagi semalam melibatkan dua buah bangunan premis berkeluasan 200 kali 100 kaki persegi.
Menurut Wan Abdul Latiff, berdasarkan pengawasan melalui stesen pengawasan kualiti udara JAS di lokasi berhampiran iaitu di Pandamaran, Klang, nilai bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) pada pukul 8 malam tadi adalah 69 iaitu pada tahap sederhana dan di bawah had yang ditetapkan oleh Standard Kualiti Udara Ambien Malaysia.
Selain itu, katanya, JAS telah mengeluarkan arahan kerja pembersihan dan pelupusan sisa bahan kimia terbakar ke Premis Yang Dilesenkan (PYDT).
“Penilaian di lapangan turut mendapati parit di sekitar kawasan SK Meru telah dicemari pigmen berwarna hijau,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, JAS menjalankan pemantauan pengaliran air daripada aktiviti pemadaman di kawasan premis bagi memastikan air daripada aktiviti pemadaman tidak disalurkan ke kawasan perparitan luar premis dan menjejaskan kualiti air di kawasan tersebut.
“Merujuk kepada insiden kebakaran ini, JAS akan meneruskan pemantauan berterusan bagi memastikan isu-isu berkaitan impak ke atas orang awam dan alam sekitar dapat ditangani segera.
“JAS akan terus memantau bacaan IPU dari masa ke semasa dan bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk di laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) di http://apims.doe.gov.my/ atau dengan memuat turun aplikasi telefon pintar rasmi MyIPU,” katanya. – UTUSAN






