PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh mempersoal sama ada Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mempunyai bukti selepas mengaitkan beliau dengan insiden bom petrol di beberapa premis cawangan KK Mart.
Dr. Akmal membangkitkan persoalan itu selepas Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa menganggap tindakan agresif beliau telah mengundang sikap ekstremis sesetengah individu sehingga berlakunya insiden bom petrol dibaling ke premis berkenaan.
“Saya nak tanya apa tindakan agresif saya yang dimaksudkan oleh kamu? Adakah boikot itu telah menjadi satu kesalahan dan tindakan agresif bagi kamu? Dan apabila kamu mengaitkan tindakan saya terhadap insiden bom petrol ini,adakah kamu ada bukti ?” soalnya dalam satu hantaran di Facebook.
Semalam, Nik Nazmi meminta Dr. Akmal menghayati titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam isu stoking tertera kalimah Allah dan berhenti menggunakan isu itu sebagai modal politik.
Katanya, mempergunakan isu itu secara berterusan tidak akan memberikan keuntungan kepada sesiapa.
Dr. Akmal juga mempersoalkan bagaimana Nik Nazmi boleh menuduh perbuatan berkenaan disebabkan mana-mana individu sekiranya siasatan insiden berkenaan belum lagi selesai.
“Kamu ada bukti untuk menyatakan bahawa ia datang dari individu tertentu ke? Atau kamu memang suka menyalahkan orang lain tanpa ada bukti?” soalnya.-UTUSAN






