PETALING JAYA: Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan perlu lebih telus mendedahkan proses pemberian tender melibatkan syarikat Heitech Padu Berhad selepas timbul pelbagai keraguan terhadap kontrak diperoleh.
Ahli Parlimen Jerantut yang juga Ketua Portfolio Pengangkutan Perikatan Nasional (PN), Khairil Nizam Khirudin berkata, pihaknya memandang serius isu penganugerahan kontrak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bernilai RM190 juta kepada syarikat tersebut.
Menurut beliau, kebimbangan sama turut dizahirkan rakyat lebih-lebih lagi antara pemegang utama saham syarikat berkenaan merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Akhbar The Edge Malaysia pada 16 April melaporkan pada tahun 2021, Heitech Padu dianugerahkan kontrak sama bernilai RM36 juta setahun, dan disambung pada tahun 2023 dengan nilai RM27 juta setahun.
“Justeru wujud persoalan besar mengapa kontrak kali ini bernilai RM190 juta untuk tiga tahun? Ini menjadikan kontrak tersebut kini bernilai purata RM63 juta setahun. Kenaikan nilai yang amat besar ini perlu dijawab oleh kerajaan,” katanya dalam hantaran di Facebook milik PN hari ini.
Beliau berkata, bagi mengelakkan isu tersebut menjadi polemik dalam kalangan rakyat, PN menggesa Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan lebih telus dan dedahkan segala proses tender yang melibatkan Heitech Padu.
“Ia termasuk persoalan mengenai nilai kontrak yang tinggi serta senarai semua syarikat yang disenarai pendek bagi mendapatkan projek bernilai RM190 juta tersebut,” katanya
Isnin lalu, HeiTech Padu menerima surat lantikan daripada JPJ membabitkan tender bernilai RM190.01 juta.
Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, penyedia perkhidmatan teknologi itu berkata, tender berkenaan adalah bagi perkhidmatan penyelenggaraan dan sokongan teknikal untuk infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sistem MySIKAP di semua pejabat JPJ.
“Kontrak bagi tempoh 36 bulan itu bermula dari 1 Mei 2024 hingga 30 April, 2027 dan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham HeiTech Padu bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2024 dan seterusnya sehingga selesai kontrak itu,” katanya. – UTUSAN






