PETALING JAYA: Kerajaan dan Lembaga Tabung Haji (TH) bekerjasama rapat dengan Kerajaan Arab Saudi bagi memastikan kelancaran perjalanan jemaah haji Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, keselamatan jemaah haji sentiasa menjadi keutamaan pihaknya.
“Jaminan daripada Kementerian Haji dan Umrah pada saya, mereka nak pastikan bahawa apa sahaja musibah yang berlaku, sudah ada alternatif yang mereka akan lakukan.
“Apa yang penting untuk jemaah haji, dengan niat yang kita ada untuk menunaikan haji, kita sama-sama doakan Allah mudahkan dan beri keselamatan kepada kita,” katanya seperti dilapor Bernama.
Pada masa sama, Mohd. Nai’m berkata, pihaknya juga bekerjasama rapat dengan Kementerian Luar berhubung suasana di Timur Tengah dan akan memaklumkan kepada jemaah haji perkembangan daripada semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Mohd. Nai’m menerusi hantaran di laman sosial berkata, TH komited berusaha memastikan pengurusannya efisien, berintegriti serta memenuhi prinsip Maqasid Syariah.
Katanya, perkara itu termasuklah penganjuran program Kursus Perdana Haji untuk memastikan seluruh bakal jemaah Haji Malaysia menguasai ilmu berkaitan ibadat haji dengan mantap. – UTUSAN






