IPOH: Kerajaan Perak sedang mengumpul maklumat tentang pelajar negeri itu yang berada di Jordan susulan ketegangan antara Iran dan Israel.
“Kita sedang mengumpul maklumat. Sebab pelajar kita ramai di Mesir, di Jordan ada tapi tak seramai di Mesir.
“Kerana pelajar-pelajar Jordan pun diuruskan oleh atase pelajar di Mesir. Kita sedang mengumpul maklumat, tengok keadaan,” kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Beliau berkata demikian semasa sidang akhbar pada majlis pelancaran Bantuan Sara Diri dan Kecemasan Mahasiswa Negeri Perak Tahun 2024 di sini hari ini.
Sementara itu katanya, kerajaan negeri juga sedia membantu pelajar di Universiti al-Azhar Mesir, Muhammad Nur Hadi Salehuddin bagi membawa pulang 200 khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara yang dikumpul di negara itu.
“Saya tahu ia melibatkan kos. Kerana dia sendiri telah mengeluarkan duit poket dia RM20,000. Hendak membawa pulang itu akan memakan kos.
“Kita bincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk), di mana yang kerajaan negeri boleh menampung kita akan membantu,” katanya.
Baginya, usaha dibuat itu bukan sesuatu yang mudah dan sebarang bentuk penghargaan atau pengiktirafan boleh mencipta galakan serta motivasi kepada orang lain untuk membuat perkara sama.
Muhammad Nur Hadi merupakan pelajar tajaan MAIPk, mengumpul khazanah kitab turath tulisan ulama Nusantara sejak tahun 1920 termasuk karangan Syeikh Mohd. Idris al-Marbawi dan Syeikh Jaafar Hussein yang kebanyakkan dikarang dalam tulisan Jawi dan Aceh.
Dalam majlis dihadirinya, Saarani berkata, Bantuan Sara Diri dan Bantuan Kecemasan yang disediakan adalah inisiatif untuk meringankan beban kewangan mahasiswa daripada keluarga kurang berkemampuan dan yang menghadapi situasi luar jangka.
“Bantuan Sara Diri disediakan bertujuan membantu menampung perbelanjaan sepanjang pengajian seperti kos kenderaan, sewa rumah, makanan, percetakan bahan pembelajaran dan sebagainya.
“Bantuan Kecemasan pula disediakan bagi membantu mahasiswa yang ditimpa musibah seperti bencana alam, kemalangan, masalah kesihatan, kecurian dan perkara di luar jangka,” katanya.
Tambahnya, bagi tahun 2024, kerajaan negeri masih mengekalkan peruntukan sedia ada sebanyak RM2 juta dan mahasiswa anak kelahiran Perak yang berkelayakan boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui pautan www.eheyns.com.my. – UTUSAN






