PETALING JAYA: Koperasi di Thailand dan Kemboja menawarkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk membeli beras gred tinggi yang diusahakan oleh petani-petani di negara tersebut.
Sehubungan itu, Angkasa perlu mendapatkan lesen konsesi beras daripada kerajaan atau meminjam lesen tersebut bagi menjayakan langkah itu.
Presiden Angkasa, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, Cooperative League of Thailand (CLT) dan koperasi di Kemboja sedia untuk mengeksport beras dari negara itu bagi menampung beras tempatan.
“Ini kerana Malaysia memerlukan hampir 40 peratus beras import bagi menampung keluaran beras tempatan,” katanya kepada Nexbyte.
Terdahulu Nexbyte melaporkan, Angkasa menawarkan diri untuk membantu kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan bekalan beras yang meruncing ketika ini.
Angkasa yang juga berada di dalam Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) boleh bekerjasama dengan rangkaian koperasi antarabangsa terutama dari negara jiran serta menjadi pengimport bahan itu.
Pada awal tahun ini, Angkasa menghadiri mesyuarat Pejabat Perniagaan Asia Pasifik di Thailand yang memberikan peluang kepada kerajaan berbincang dengan menteri koperasi Thailand berkaitan perkara ini.
Abdul Fattah berkata, kerjasama antara koperasi-koperasi ini adalah untuk menjaga kepentingan ahli koperasi kedua-dua belah pihak.
“Kerajaan sepatutnya memberi ruang kepada Angkasa dan bersama-sama gerakan koperasi untuk membantu sebanyak tujuh juta ahlinya,” katanya. – UTUSAN






