PETALING JAYA: Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) membuka sesi lawatan khas sempena Hari Raya Aidilfitri untuk keluarga atau penjaga penghuni di 30 Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara bermula 15 hingga 19 April ini.
AADK dalam satu kenyataan memaklumkan lawatan itu bertujuan merapatkan hubungan antara penghuni Puspen dan keluarga, mendapatkan sokongan moral dan emosi antara satu sama lain.
“Melalui program ini, ahli keluarga dapat melihat perkembangan pemulihan klien yang mengikuti Program Rawatan dan Pemulihan Dalam Institusi (RPDI) AADK.
“Lawatan keluarga ini juga memberi ruang dan peluang antara keluarga atau penjaga dan klien untuk bertemu serta melihat kepulihan klien,” katanya.
Lawatan di Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Wilayah Persekutuan, Perak, Pulau Pinang, Perlis, Sabah, Sarawak bermula 15 sehingga 19 April manakala Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah bermula 14 hingga 18 April ini.
Menurut kenyataan itu lagi, semua keluarga atau penjaga yang ingin menyertai sesi lawatan itu dikehendaki menghubungi PUSPEN terlebih dahulu menerusi panggilan telefon, mesej pesanan ringkas (SMS), pesanan aplikasi WhatsApp, surat atau e-mel.
Katanya, orang ramai boleh menghubungi Puspen untuk mendapatkan maklumat lanjut melalui talian 1-800-22-AADK (2235) atau 019-626 2233 (WhatsApp) bagi mendapatkan nasihat atau aduan berkaitan permasalahan dadah. – UTUSAN






