PETALING JAYA: Penstrukturan semula akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dilihat mengikut keperluan semasa pencarum yang berdepan kenaikan kos sara hidup, pertumbuhan gaji yang rendah serta peningkatan jumlah orang bekerja sendiri.
Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Berhad, Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, penstrukturan ini adalah langkah positif memandangkan ia memberi suatu kemudahan bagi pencarum untuk mengeluarkan simpanan mereka di KWSP.
“Hakikatnya, ia adalah satu pertimbangan yang agak sukar memandangkan keperluan untuk mengumpul dana persaraan dan memenuhi keperluan semasa adalah sama penting. Justeru, perlu ada suatu bentuk kompromi dalam hal ini.
“Namun, nisbah 10 peratus bagi Akaun Fleksibel dikira sesuatu yang munasabah memandangkan Akaun Persaraan masih lagi mempunyai nisbah yang tertinggi iaitu 75 peratus,” katanya ketika dihubungi Nexbyte.
Beliau bagaimanapun menjelaskan, ahli perlu berdisiplin dalam penggunaan wang tersebut memandangkan mereka akan kehilangan faktor pengganda kerana wang disimpan dalam KWSP akan berkembang menjadi suatu jumlah yang besar apabila mencapai umur persaraan.
“Oleh itu, keputusan untuk mengeluarkan simpanan perlulah dibelanjakan untuk perkara yang berbaloi seperti memenuhi keperluan asas, pendidikan anak-anak, membayar sewa rumah ataupun membuat penyelesaian awal terhadap hutang-hutang seperti kad kredit, pembiayaan peribadi dan kenderaan,” katanya.
KWSP mengumumkan inisiatif Penstrukturan Semula Akaun berkuat kuasa 11 Mei ini bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.
Akaun ahli akan distruktur semula daripada dua akaun iaitu Akaun 1 (75 peratus) dan Akaun 2 (15 peratus) kepada tiga akaun dengan tambahan Akaun 3 atau Akaun Fleksibel (10 peratus).
Simpanan dalam akaun ini boleh dikeluarkan pada bila-bila masa mengikut keperluan ahli, tertakluk kepada amaun minimum pengeluaran serendah RM50.
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains İslam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berpendapat, penstrukturan itu dilihat sebagai usaha berterusan pihak KWSP mendisiplinkan ahli dalam pengurusan kewangan mereka yang terdedah kepada cabaran ekonomi semasa.
“Justeru, penstrukturan ini memberi ruang dan peluang kepada ahli KWSP menggunakan wang simpanan KWSP dalam jumlah yang tertentu secara berdisiplin dan berhemah, dalam masa sama tidak menggugat wang simpanan persaraan mereka di hari tua,” katanya.
Beliau berkata, akaun fleksible itu menjadi sumber utama pencarum di mana sebanyak 10 peratus caruman diperuntukan dalam akaun itu jika terdapat keperluan yang amat mendesak.
“Kalau ahli menghadapi situasi yang mendesak atau kecemasan dalam waktu yang pendek, para pencarum boleh mengeluarkan wang simpanan caruman mereka di KWSP melalui akaun 3 bila-bila masa.
“Jadi, akaun ini menjadi sumber talian hayat bagi para pencarum mendapatkan wang mereka tanpa perlu risau dan gusar tentang simpanan persaraan hari tua mereka nanti,” katanya. – UTUSAN






