KUALA TERENGGANU: Pas terbuka untuk menerima siapa sahaja menjadi calon mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.
Naib Presidennya, Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas akan mengerahkan seramai mungkin jenteranya untuk membantu kempen calon tersebut demi memastikan kemenangan PN.
“Sudah tentu, Pas akan kerahkan jentera kerana yang akan bertanding nanti adalah PN, daripada parti mana sekalipun itu akan diputuskan oleh kepimpinan dalam mesyuarat khas PN petang ini.
“Mesyuarat berlangsung di Kuala Lumpur untuk membincangkan secara terperinci mengenai calon yang akan dipilih.
“Namun, saya tak pasti sama ada mesyuarat akan terus umum nama calon atau ada satu majlis pengisytiharan yang lain untuk umumkannya, bergantung kepada ketetapan mesyuarat petang ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan penggal kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Ditanya mengenai keyakinan PN untuk memenangi PRK tersebut pula, Ahmad Samsuri berkata, berdasarkan data-data dan respons semasa, kemenangan adalah berpihak kepada PN setakat ini.
“Kajian sikap yang kita buat bagi pihak PN sendiri dan kajian daripada pihak luar termasuk Merdeka Centre juga menunjukkan populariti kerajaan negeri yang ada di Selangor dan Kerajaan Pusat agak menurun.
“Itu menjadi ‘plus point’ pada kedudukan PN untuk mencalonkan individu yang terbaik di PRK Kuala Kubu Baru nanti,” katanya.
PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.
Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari. – UTUSAN






