LARUT: Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan menjadi referendum rakyat menolak kerajaan hari ini yang dilihat gagal menyelesaikan banyak isu rakyat.
Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, walaupun ia hanya pilihan raya kecil namun ia penting sebagai petunjuk rasa tidak puas hati rakyat terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurutnya, ini dapat dilihat semasa beliau turun padang berjumpa rakyat yang rata-rata menzahirkan rasa marah terhadap kerajaan kerana isu yang dibangkitkan tidak diambil peduli oleh kerajaan.
“Apabila saya turun ke bawah, bukan sahaja semasa penamaan calon tapi sebelum itu kerana kita nak ikuti sentimen rakyat, saya berjumpa rakyat, saya pergi banyak tempat di Kuala Kubu Bharu. Saya lihat rakyat sudah mula rasa marah pada kerajaan kerana isu yang dibangkitkan oleh mereka langsung tidak diambil peduli oleh kerajaan
“Kali ini mereka beritahu saya mereka ingin membuktikan pada kerajaan bahawa rakyat adalah satu-satunya kumpulan yang boleh menentukan masa depan ini.
“Kalau sudah diberi peluang (menjadi kerajaan) tetapi masih lagi tak ambil tindakan yang sewajarnya, maka rakyat akan membuktikannya melalui PRK ini,” katanya.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Sambutan Aidilfitri Parlimen Larut di Felda Ijok, Selama di sini hari ini.
Hamzah sehubungan itu bersetuju dengan kenyataan Presiden Gerakan, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai yang berpandangan PRK Kuala Kubu Bharu akan menjadi referendum rakyat kepada kerajaan.
Menurutnya, walaupun PRK itu tidak besar tapi ia dapat membuktikannya setelah hampir dua tahun memerintah rakyat masih tidak rasa selesa dengan pengurusan dan kepimpinan kerajaan.
“PRK ini akan membuktikan rakyat menolak kerajaan ini, kerajaan yang gagal mengurus masalah rakyat, masalah ekonomi banyak lagi isu,” katanya. – UTUSAN






