KOTA KINABALU: UMNO Sabah tidak akan mencalonkan semula wakil rakyat yang tidak sehaluan dengan perjuangan parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, beliau tidak mahu wakil rakyat UMNO yang tidak mempunyai ketelusan dan tidak setia kepada parti.
“Maka, saya akan drop (gugur nama) mereka dan tidak akan meletakkan mereka sebagai calon lagi,” katanya semasa majlis berbuka puasa UMNO Sabah bersama anak yatim, di sini semalam.
Kenyataan itu jelas menunjukkan bahawa tiada ruang bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat, Datuk Shahelmey Yahya untuk dicalonkan semula di bawah payung UMNO.
Shahelmey antara empat ADUN UMNO yang bertindak membelakangkan keputusan parti untuk menarik sokongan daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor semasa berlaku kemelut politik pada Januari tahun lalu.
Susulan itu, Shahelmey berhadapan tindakan disiplin iaitu digantung keahlian selama enam tahun manakala tiga ADUN UMNO lain iaitu Datuk James Ratib (Sugut), Datuk Mohd. Arsad Bistari (Tempasuk) dan Datuk Jasnih Daya (Pantai Dalit) yang turut dikenakan tindakan disiplin telah keluar daripada UMNO untuk menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan terikat dengan Akta Anti Lompat Parti yang telah dikuatkuasakan di peringkat Persekutuan sejak Oktober 2022.
Dalam pada itu, Bung Moktar berkata, pihaknya telah mengenal pasti muka baharu yang akan dipilih sebagai calon untuk bertanding di 23 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disasarkan oleh UMNO pada PRN Sabah ke-17.
“Namun, saya belum boleh reveal (dedahkan) pada ketika ini sebab kita masih menapis dan kita telah minta mereka turun padang berjumpa dengan pengundi supaya pengundi di kawasan tahu siapa calon kita,” katanya.
Ditanya jika beliau sedia melepaskan kawasan DUN Lamag kepada anak muda, Bung Moktar yang juga ADUN Lamag berkata, sekiranya ada jaminan UMNO akan terus kuat dan kukuh maka, beliau sedia memberi laluan kepada anak muda.
“Tapi sebagai ketua panglima, tidak boleh panglima ‘gostan’,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, UMNO Sabah juga sedia mempertimbangkan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat negeri. – UTUSAN






