KUALA LUMPUR:Seorang pegawai kanan polis dari Kontinjen Kuala Lumpur ditahan bersama wang tunai kira-kira RM2 juta oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki melindungi aktiviti di ibu negara ditukar ke jabatan lain.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, tindakan itu akan diambil sementara pihaknya menunggu dan menerima keputusan hasil laporan siasatan SPRM.
Bagaimanapun beliau memaklumkan, pihaknya tidak diberikan satu tempoh masa oleh SPRM bila hasil laporan itu akan dikemukakan.
“Pegawai itu disahkan dari Kontinjen KL direman atas dua kesalahan membabitkan Seksyen 17 Akta SPRM dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
“Kami menunggu apa sahaja keputusan dari pihak SPRM, kita sahkan pegawai terbabit sudah kembali bertugas tetapi kita tempatkan dia di tempat (jawatan) lain sementara menunggu keputusan siasatan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Wangsa Maju, hari ini.
Majlis Serah Terima Tugas membabitkan Superintendan Ashari Abu Samah kepada Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail.
Mengulas lanjut, Rusdi menambah bahawa pegawai kanan itu kini sudah dibebaskan dengan jaminan SPRM pada Sabtu lalu.
Sehubungan itu katanya, pegawai itu kini sudah kembali bertugas bersama Kontinjen Kuala Lumpur.
“Kita juga boleh sahkan pegawai kanan itu kini sudah kembali bertugas dan kita akan menempatkan dia di jabatan lain sementara menantikan keputusan siasatan daripada SPRM.
“Setakat ini kita belum menerima sebarang maklumbalas daripada mereka (tempoh masa laporan siasatan siap dan diserahkan kepada polis),” ujarnya.
Mengulas mengenai kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang tidak menolak kemungkinan pegawai terbabit tidak bergerak solo, Rusdi berkata, pihaknya enggan memberi sebarang komen berhubung dakwaan itu selagi siasatan belum selesai.
“Kita tak boleh komen pasal itu, sebab siasatan masih dijalankan oleh SPRM, saya tak boleh nak komen,” katanya lagi.
Beliau juga menegaskan bahawa pihaknya juga membuat siasatan dalaman membabitkan pegawai kanan tersebut dan belum membuat sebarang keputusan.
“Siasatan ini ‘parallel’ (selari) melibatkan pegawai kita..ia kadang-kadang kita tunggu keputusan hasil siasatan, tetapi kadang-kadang kita akan buat keputusan awal,” ujarnya.
Minggu lalu, seorang pegawai kanan dari Kontinjen Kuala Lumpur telah ditahan oleh SPRM bersama wang lebih RM2 juta selepas disyaki melindungi aktiviti haram di ibu negara.
Difahamkan, suspek berusia 40-an menerima wang suapan itu daripada sindiket dalam bentuk tunai sebagai balasan melindungi aktiviti haram membabitkan perjudian, maksiat dan kumpulan gangsterisme sekitar Kuala Lumpur sejak 2021.
Sumber berkata, selain pegawai kanan itu, seorang anggota polis dipercayai terbabit rasuah bagi melindungi aktiviti haram sekitar Kuala Lumpur, turut ditahan.
“Hasil penahanan ke atas suspek utama, SPRM turut menemui sejumlah wang tunai bernilai lebih RM1.2 juta hasil serbuan di beberapa premis milik suspek.
“Suspek utama telah ditahan di Putrajaya kelmarin, manakala suspek kedua yang juga anggota bawahannya ditahan pada hari yang sama di sekitar Kuala Lumpur,” kata sumber.- UTUSAN






