GEORGE TOWN : Sahabat Alam Malaysia (SAM) terus menggesa kerajaan negeri agar tidak meneruskan projek kereta kabel Bukit Bendera sehingga semua penilaian-penilaian awam dipamerkan.
Pada masa yang sama, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu mahu satu pelan tempatan diwujudkan supaya orang ramai dapat mengetahui impak terhadap projek tersebut.
Presiden SAM, R.Meenakshi berkata, ketika ini, terdapat banyak persoalan mengenai projek kereta kabel itu termasuk Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) projek yang telah dilulusan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) tanpa sebarang publisiti dan komen daripada orang awam.
“Walaupun Bukit Bendera adalah ekosistem yang sensitif, EIA tersebut diluluskan tanpa penglibatan orang awam.
“Untuk pengetahuan, selain Bukit Bendera, kawasan lain yang turut terjejas akibat projek ini termasuk kawasan bawah iaitu Taman Botani serta kawasan-kawasan sekitarnya yang mana akan terdapat impak negatif daripada pemotongan pokok, impak daripada trafik serta bunyi bising dan sebagainya.
“Tetapi, kelulusan diberi tanpa orang awam mengetahui EIA serta Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Penilaian Impak Trafik,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Pengangkutan dan Digital negeri, Zairil Khir Johari berkata,
projek kereta kabel Bukit Bendera iaitu satu lagi projek mega oleh kerajaan negeri Pulau Pinang dijangka dimulakan pada hujung Mei atau awal Jun depan.
Zairil berkata, projek itu memperoleh kelulusan daripada pelbagai agensi antaranya kelulusan kebenaran merancang daripada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) serta kelulusan Laporan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA) daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan lain-lain.
Mengulas lanjut, Meenakshi berkata, ketiadaan pelan tempatan bagi kawasan-kawasan yang akan terjejas oleh projek kereta kabel itu juga meragukan.
“Kesemua aspek ini tidak mematuhi undang-undang dan segala keputusan dibuat tanpa penyertaan awam sebelum penilaian-penilaian dibuat.
“Tanpa ketelusan dan penyertaan orang awam, adalah sukar untuk menerima apa yang telah dinyatakan Zairil (Khir Johari),” katanya.
Dalam pada itu, Meenakshi berkata, terdapat juga keraguan tentang impak tentang begitu ramai orang yang akan berkunjung ke kawasan Bukit Bendera yang dikhuatiri boleh membawa kesan negatif kepada alam.
“Bukan saja isu mengenai pokok yang akan ditebang, tetapi ia turut melibatkan lain-lain kesan sampingan terhadap alam (susulan projek kereta kabel),” katanya.-UTUSAN






