GEORGE TOWN : Semua kategori orang kurang upaya (OKU) yang menggunakan perkhidmatan feri di sini dijangka menikmati tambang pengangkutan itu secara percuma bermula 8 April ini.
Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Yeoh Soon Hin berkata, inisiatif itu diambil hasil kerjasama dengan Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB).
“Bagi meneruskan agenda rakyat terutamanya di Pulau Pinang, bermula 8 April ini, golongan OKU akan menikmati tambang feri percuma bagi semua kategori iaitu pejalan kaki, basikal dan motosikal.
“Keputusan ini juga dibuat selepas mengambil kira sifat kebersamaan dan tidak mengetepikan golongan tertentu,” katanya dalam sidang akhbar di Pangkalan Raja Tun Uda, di sini hari ini.
Sebelum ini, tambang RM1 dikenakan kepada individu OKU khususnya pejalan kaki yang menggunakan perkhidmatan feri.
Bagaimanapun, Soon Hin berkata, SPPP dan PPSB telah memperhalusi mekanisme pelaksanaan tambang percuma ini di mana individu OKU perlu hadir mendaftar di mana-mana kaunter terminal feri sama ada di Pangkalan Sultan Abdul Halim (PSAH) atau di Pangkalan Raja Tun Uda (PRTU) dengan membawa kad pengenalan dan kad OKU yang dikeluarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pemberian ini (tambang percuma kepada OKU) adalah tanpa had dan ia diharap dapat meringankan beban kos pengangkutan golongan berkenaan di samping menjadikan feri sebagai pilihan terbaik (untuk pengangkutan) selain penggunaan Jambatan Pulau Pinang,” katanya yang memberitahu, SPPP dan PPSB akan terus melaksanakan sebarang inisiatif yang dilihat dapat memberi kebaikan kepada orang awam.
Dalam pada itu, Soon Hin berkata, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan bagi memastikan perkhidmatan feri terus relevan khususnya dalam memberikan keselesaan kepada penumpang feri untuk berulang-alik antara Butterworth dan George Town.
“Pada awal pengoperasian perkhidmatan feri baharu ini, pihak operator iaitu PPSB telah melaksanakan inisiatif tambang percuma bagi semua kategori (penumpang pejalan kaki, motosikal dan basikal) selama sebulan bermula 7 Ogos 2023 hingga 6 September 2023.
“Setelah inisiatif tersebut tamat, pihak PPSB telah memperkenalkan dan menawarkan pas bermusim dengan kadar diskaun sebanyak 50 peratus bagi penumpang pejalan kaki, manakala 30 peratus bagi penumpang motosikal sehingga 31 Disember 2023,” katanya.
Tambah Soon Hin, tawaran pas bermusim ini kemudian diteruskan pada tahun ini dengan memberikan kadar diskaun sebanyak 30 peratus bagi semua kategori penumpang feri.
“Langkah ini bertujuan bagi mengurangkan beban kos pengangkutan orang awam yang menggunakan perkhidmatan feri.
“Selain itu, pihak PPSB juga berbesar hati dengan memberikan tambang percuma selama 50 jam pada perayaan Thaipusam lalu yang bermula pada pukul 12.01 tengah malam, 25 Januari lalu dan tamat pada pukul 2 pagi 26 Januari,” katanya.-UTUSAN






