GEORGE TOWN : Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan untuk mempercepatkan penubuhan Suruhanjaya Amal Malaysia melalui perundangan khusus bagi mengawal selia pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, ini kerana, setakat ini, belum ada statut komprehensif tunggal di negara ini untuk mengawal selia NGO, kecuali bagi badan amal dan amanah amal serta institusi yang digariskan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Katanya, Jadual Kesembilan secara umumnya hanya menyatakan bahawa badan amal Islam berada di bawah senarai negeri tetapi ia tidak memperuntukkan mengenai soal pentadbiran mereka.
“Kami menggesa agar pentadbiran negeri menyediakan badan penyelia bagi badan amal Islam. Sejak bertahun-tahun, banyak derma dibuat orang ramai untuk dijadikan dana membina masjid, institusi tahfiz, dan pelbagai tujuan kebajikan lain.
“Dengan adanya Suruhanjaya Amal Malaysia ini, ia dapat memastikan ketelusan dan ketulenan dalam pengumpulan dana kerana adalah penting untuk mengekalkan kepercayaan dalam komuniti selain memberi menjamin bahawa derma sememangnya digunakan bagi tujuan yang dimaksudkan,” katanya di sini, hari ini.
Sebelum ini iaitu pada Februari 2020, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata bahawa sudah tiba masanya Suruhanjaya Amal diwujudkan bagi menambah baik kecekapan, ketelusan dan tadbir urus baik dalam sektor kewangan sosial.
Menurut Wan Azizah, penubuhan suruhanjaya itu juga secara tidak langsung akan mencegah sumbangan yang diberikan daripada tidak sampai ke tangan penerima.
Mengulas lanjut, Mohideen berkata, adalah penting bagi Malaysia untuk menggubal undang-undang bagi menangani perkara-perkara berkaitan pendaftaran badan amal, pentadbiran dan tadbir urus badan amal.
“Selain itu, undang-undang juga perlu digubal untuk mengawal selia badan amal dan institusi bercirikan awam serta menyelia aktiviti pengumpulan dana yang berkaitan dengan badan amal dan institusi lain,” katanya.
Tambah Mohideen, pada masa yang sama, kerajaan juga perlu mewujudkan undang-undang yang akan menyediakan rangka kerja berstruktur bagi operasi dan pengawasan NGO untuk memastikan akauntabiliti, ketelusan dan pengurusan yang berkesan bagi usaha amal dan institusi awam.
“Tindakan ini penting untuk membina semula kepercayaan orang ramai dalam menderma kepada badan amal atau NGO.
“Selain itu, ia juga akan mengurangkan risiko pertubuhan daripada menipu orang ramai bagi mendapatkan dana atau beroperasi secara tidak berkesan disebabkan pertubuhan yang lemah,” katanya.-UTUSAN






